Penempatan Semula Nelayan: 117 nelayan di Pulau Bruit dapat berita gembira

Berita gembira kepada 117 nelayan tidak memiliki lesen bot dan kad nelayan di Pulau Bruit, Daro setelah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mempertimbangkan pengecualian khas kepada mereka untuk menjadi peserta di kawasan Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Rural Growth Centre (RGC) Semop.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Haji Yusuf Abd Wahab berkata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi bersetuju membawa isu sama yang turut berlaku di negeri lain ke jawatankuasa induk agar nelayan terkesan diberi kelulusan menduduki PSN.

“Ramai nelayan yang berminat memiliki rumah PSN namun di ditolak di peringkat awal kerana tidak memilki lesen bot dan kad nelayan.

“Mereka memang memerlukan rumah disebabkan tidak memiliki rumah, tidak memilk tanah untuk mendirikan rumah sendiri, keadaan rumah uzur dan tanah milik orang lain.

“Jadi kita mencadangkan kepada Timbalan Menteri agar nelayan tulen yang tidak memiliki lesen bot dan kad nelayan diberi pengecualian khas untuk diberi pertimbangan dan kelulusan projek Penempatan Semula Nelayan Semop setelah melalui proses temuduga,” katanya ketika ditemuramah UKAS selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Dato’ Haji Che Abdullah semalam.

Ir Haji Yusuf turut mencadangkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia untuk mempertimbangkan pemberian kelulusan lesen bot dan kad nelayan kepada pemohon baru dari kawasan Pulau Bruit.

Jelasnya lagi, proses kelulusan itu perlu dipercepatkan kerana rumah-rumah di RGC Semop telah siap untuk diduduki.

“Kita tidak mahu melengah-lengahkan lagi projek ini kerana ia akan menyebabkan keadaaan rumah itu tidak terurus dan mungkin mengalami masalah-masalah lain dari segi jaminan pihak kontraktor.

“Kalau boleh kita hendak mempercepatkan proses pemilihan peserta-peserta untuk perumahan ini supaya rumah tersebut dapat diduduki secepat mungkin,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here