Ahli bersekutu: Bersatu sedia pinda pelembagaan

KUALA LUMPUR:

Bersatu bersedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu, yang terdiri daripada bukan bumiputera, mempunyai peranan yang lebih meluas, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi cadangan itu, beliau berkata, bukan Bumiputera kelak bukan sahaja boleh menjawat jawatan lebih tinggi, tetapi turut bersama-sama memberi idea untuk memajukan parti.

Bagi merealisasikan aspirasi itu, Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Dr Rais Yatim telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara itu, dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Dalam mesyuarat pimpinan tertinggi saya telah bawa usul bagi membolehkan ahli bersekutu sama-sama menyumbang… bukan setakat sebagai ahli biasa, tapi berperanan untuk memberi idea dan pandangan dan terlibat dalam kepimpinan.

“Cadangan untuk membentuk satu lembaran baharu dalam bersatu. We will propose the formation of a new chapter yang akan membolehkan ahli bersekutu menyertai bersama-sama, memegang jawatan dalam parti, dan menyumbang idea untuk majukan parti,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan Kongres Negara 2020 bertemakan Bersatu Untuk Malaysia, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here