Sertai MN: PAS terima surat Bersatu

KOTA BHARU:

PAS telah menerima surat daripada Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kesediaan BERSATU menyertai Muafakat Nasional (MN), kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

“Hari ini saya boleh mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjawab surat itu menyatakan kesediaan Bersatu menjadi anggota (baharu) di bawah MN.

“(Saya bagi pihak Presiden PAS) dah terima surat itu. Sahlah sekarang ini (penyertaan Bersatu ke dalam MN), cuma kita belum ada perbincangan (rasmi antara ketiga-tiga parti) setakat ini. Mungkin kita akan adakan mesyuarat (rasmi) bersama tiga parti (dalam masa terdekat),” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sumbangan Skim Bantuan Pelajar Parlimen Kota Bharu di sini pada Sabtu seperti dipetik Bernama.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September ini, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata MN masih belum memutuskan berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh parti komponen masing-masing pada pilihan raya itu.

Katanya MN masih mempunyai masa kira-kira dua minggu untuk memuktamadkan senarai calon dan kerusi yang akan ditandingi parti-parti komponen MN dalam pilihan raya melibatkan 73 kerusi DUN itu.

Mengulas mengenai pendaftaran Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin berkata PN masih menunggu kelulusan pendaftarannya daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan PAS merupakan antara penaja kepada penubuhan parti PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here