Selangor tak kompromi aktiviti ambil kayu bakau secara haram

Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjalankan aktiviti mengambil kayu bakau tanpa kebenaran.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, tindakan tegas seperti yang termaktub dalam Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 akan diambil sekiranya kes dilapor berlaku.

Terdahulu, beliau berkata, empat lelaki ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah pada jam 9 malam, Ahad lalu.

Dalam operasi yang turut disertai Pasukan Gerak Am (PGA) Pulau Carey, empat lelaki terbabit dicekup ketika leka memunggah kayu jaras bakau dari sampan ke tebing sungai.

“Operasi ini dijalankan bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti pengambilan kayu bakau tanpa kebenaran di tanah kerajaan dan di kawasan hutan simpan.

Antara motosikal yang dirampas dalam operasi yang turut disertai Pasukan Gerak Am (PGA) Pulau Carey malam Ahad lalu.

“Lebih kurang 200 batang kayu jaras bakau, tiga buah motosikal, sebuah sampan fiber dan enjin sangkut dirampas dirampas dalam operasi tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, barang rampasan disimpan sementara di Stor Penyimpanan Jentera dan Barang Kes Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di Sungai Buloh.

Katanya, kayu jaras bakau yang dirampas pula disimpan sementara di Pejabat Renjer Hutan Pelabuhan Klang sebelum proses lelongan dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat.

“Kes ini akan disiasat adalah di bawah seksyen 84 (1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“Jika sabit kesalahan, individu yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here