Ibu gajah kejutkan anak mati dilanggar kereta di Kota Tinggi

Tular video seekor ibu gajah cuba mengejutkan anaknya yang mati dilanggar kereta di Kota Tinggi semalam.

Menerusi video berdurasi kira-kira 42 saat yang disiarkan laman facebook Orang Kota – Tinggi, ibu gajah tersebut cuba mengejutkan anaknya yang telah rebah dan terdampar di tepi jalan.

Dalam video itu turut menunjukkan beberapa individu dipercayai pegawai Perhilitan cuba menghalau semula ibu gajah itu ke dalam hutan dengan melepaskan tembakan ke udara.

“Ibu mana tak sayang anak, tetap juga cuba kejutkan anaknya walau dah tak bernyawa.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan yang baik-baik saja. Hati-hati semua, hidup kita semua berkongsi,” tulis pentadbir laman facebook tersebut.

Rata-rata warganet dalam ruangan komen menyatakan rasa sedih atas kematian anak gajah tersebut dan simpati kepada ibunya.

Ada juga yang marah dengan penebangan balak dan pembukaan kawasan baharu di dalam hutan sehingga menyebabkan mamalia yang semakin terancam spesisnya itu terpaksa keluar dari habitat mereka.

“Haiwan sayang anak dia, tapi adakah kita manusia sayang pada haiwan? Pada alam semula jadi/? Tamak dengan hutan, tebang hutan, kacau rumah dia macam tu? Penyebab dia lari keluar kacau manusia pula dan manusia marah.

“Tapi ada fikir kenapa? Salahkan perhilitan tak buat kerja. Tapi korang tahu ke dia orang buat ke tak buat. Depa dah sehabis kerah tenaga buat kerja. Maaf kalau saya salah. Saya sedih melihat begini,” tulis Wark Gador’s.

Manakala pengguna Facebook bernama Mohd Faizal membangkitkan persoalan mengenai penebangan balak di dalam hutan.

“Kau pergi tanya. Siapa pergi tebang pokok-pokok balak dalam tu. Macam mana binatang tu tak merayau sampai tepi jalan.

“Zaman 90-an ada nampak binatang sepanjang jalan ni? Tak ada kan? Binatang tu tak ada akal. Kau yang ada akal pun perangai macam binatang!

“Pergi kacau habitat dalam hutan tu. Kau dah kenyang. Yang merana binatang tu dan pengguna jalan tu! Dasar manusia binatang.” kata Mohd Faizal.

“Hai la gajah. Kesian, habitat habis kena gondol. Nak cari kawasan lain ada pula jalan raya. Baik masuk zoo je senang. Itu pun kalau tuan kau baik,” kata Aiman Ismail.

Pengguna Facebook bernama Aimi Shahida Selamat memohon Perhilitan Johor melakukan sesuatu.

“Buatlah sesuatu. Kerap dah gajah ni keluar dari habitat dia. Saya tahu itu memang laluan dia. Pasti ada pencerobohan kawasan dia yang menyebabkan dia kerap keluar.

“Sama ada mencari makanan atau habitat dia diganggu. Mana-mana haiwan liar pun tak nak terserempak dengan manusia sebab dia tahu manusia ni perangai buruk, lagi yang zalim,” tulis Aimi.

“Perhilitan ni buat kerja ke tak? Bersepah-sepah gajah selepas ladang baru Mados buka dekat Sungai Ara,” tulis Mohd Farid Bin Ismail.

Manakala Fadila Amoy Rase mencadangkan pagar dipasang di tepi jalan raya.

“Kena pasang pagar kot kat tepi-tepi tu. Supaya gajah atau binatang lain tak keluar melintas jalan. Kesian diorang (gajah). Dah la comel,” kata Fadila.

Sementara itu Perhilitan dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengambil tindakan segera mengawal lokasi kejadian.

“Susulan daripada video yang tular mengenai seekor gajah betina mengamuk selepas anaknya mati dilanggar oleh sebuah kereta di Batu 10, Jalan Kota Tinggi – Mersing, Kota Tinggi, Johor, Jabatan Perhilitan Negeri Johor telah mengambil tindakan segera mengawal lokasi kejadian.

“Buat masa ini, gajah betina yang mengamuk telah masuk semula ke dalam Hutan Simpan Kekal Panti bersama kumpulannya.

“Pihak Jabatan Perhilitan akan memantau lokasi kejadian dan operasi tangkapan akan dilakukan jika terdapat kehadiran gajah betina itu semula di kawasan kejadian.

“Sehubungan itu, pihak jabatan memohon orang ramai supaya berhati-hati melalui jalan tersebut dan tidak melakukan tindakan provokasi terhadap gajah tersebut.

“Sebarang maklumat/aduan berkaitan hidupan liar boleh disalurkan ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN 1800-88-5151,” menurut kenyataan Perhilitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here