Pasar awam di Selangor akan diletak penarafan untuk keselamatan makanan

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengguna pakai kaedah rating ke atas 313 pasar awam di negeri ini sebagai usaha memastikan premis berkenaan sentiasa bersih dan mencapai tahap piawaian ditetapkan berkaitan keselamatan makanan.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata menerusi kaedah rating itu juga, pengguna akan mempunyai lebih kuasa untuk membuat pilihan sebelum berkunjung ke mana-mana pasar awam bagi mendapatkan sumber makanan mentah.

“Pengurusan pasar akan diberikan kriteria bagaimana untuk menjadikan premis mereka boleh meraih rating lima bintang supaya orang ramai boleh tahu, pasar mana yang bersih dan dijadikan contoh.

“Dengan cara ini, pasti pengguna akan berkunjung ke pasar yang mempunyai rating tinggi dan ia juga dapat memupuk semangat kepada pengurusan pasar lain supaya memastikan premis mereka juga bersih hingga mencapai rating tertinggi,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 peringkat negeri di Pasar Moden Seksyen 16 di sini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, Dr Sha’ari berkata JKNS akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di semua daerah di Selangor bermula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan usaha berkenaan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Mengulas lanjut katanya, rating yang diraih oleh mana-mana pasar awam akan dipaparkan di media sosial rasmi JKNS untuk memberi makluman kepada pengguna.

“Selepas pasar awam, kita akan mula rating premis-premis makanan pula memandangkan mereka juga terlibat secara langsung untuk memastikan tahap piawaian keselamatan makanan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Ini kerana katanya, menerusi aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan terhadap premis makanan di Selangor sejak Januari hingga Julai lepas, sebanyak 165 premis diarah tutup atas pelbagai kesalahan dengan 78 dikenakan Notis 32B Akta Makanan 1983.

Justeru, beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan bermula dengan memastikan sumber makanan mentah adalah selamat, semua pihak juga harus memainkan peranan masing-masing supaya tahap keselamatan makanan sentiasa diutamakan.

Dr Sha’ari berkata orang ramai amatlah disaran supaya mengamalkan lima panduan makanan selamat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu penjagaan kebersihan, mengasingkan makanan mentah dengan yang dimasak, masak makanan dengan betul, simpan makanan pada suhu selamat dan gunakan air serta bahan mentah yang selamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here