Georgetown, Aug 4-
Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang diumumkan kerajaan Kedah dianggap tidak sesuai ketika rakyat masih berdepan dengan pandemik Covid-19, tambahan projek bernilai tinggi itu juga bukan keperluan utama, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.
Beliau tidak membantah pembinaan lapangan terbang terbabit, namun ia tidak harus dilakukan pada masa sekarang terutama ketika rakyat menderita kerana tiada pekerjaan dan makanan.
Katanya, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor perlu memandang serius kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya daripada memberi tumpuan kepada perjanjian dengan syarikat.
“Kerajaan negeri Kedah sebelum ini tidak dapat menyelesaikan hutang bekalan airnya kepada kerajaan Pusat selain gagal menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dan berfaedah.
“Ia memaksa rakyatnya mencari pekerjaan di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Kelmarin, media melaporkan KXP yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 mampu mengubah imej dan status Kedah kepada sebuah negeri berkembang maju.
Muhammad Sanusi dipetik berkata, projek itu juga dijangka memainkan peranan utama dalam industri penerbangan, hab industri halal dan e-dagang termasuk produk farmasi serta pelbagai kategori kargo di rantau Asean.
Lapangan terbang itu juga akan menjadi hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.
Menurut Ramasamy, disebabkan Muhammad Sanusi gagal mengancam Pulau Pinang dengan isu bekalan air, Menteri Besar Kedah itu mungkin menjadikan pembinaan lapangan terbang baharu sebagai hukuman yang setimpal kepada Pulau Pinang.
“Apakah keperluan utama bagi pembinaan lapangan terbang sekarang? Adakah ia bertujuan bagi mencabar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)?” katanya.