Air Selangor: Pemulihan bekalan air tujuh wilayah meningkat

SHAH ALAM, 6 SEPT: Penyaluran semula bekalan air berjalan lancar selepas tujuh wilayah terjejas merekodkan peningkatan peratusan pemulihan kawasan sehingga jam 12.30 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan Hulu Selangor masih merekodkan peratusan tertinggi sebanyak 94.1 peratus diikuti Kuala Selangor dengan 93.5 peratus.

“Sehingga jam 12.30 tengah hari, sebanyak 618 kawasan pulih sepenuhnya manakala 674 kawasan masih dalam proses pemulihan.

“Secara keseluruhan 47.8 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini telah pulih sepenuhnya,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri.

Beliau berkata wilayah Petaling merekodkan 57.2 peratus kawasan pemulihan diikuti Kuala Langat (50 peratus), Kuala Lumpur (41.3 peratus), Klang dan Shah Alam (24.2 peratus) manakala 11.3 peratus di Gombak.

Katanya, Air Selangor menasihatkan pelanggan supaya menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual.

“Para pengguna diminta untuk memberi kerjasama yang baik kepada warga kerja Air Selangor yang bertugas dalam memberikan bekalan air alternatif di kawasan-kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here