Kanowit dilanda banjir

Hujan lebat yang turun sejak semalam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Daerah Kanowit sini kini dilanda banjir.

Kenyataan rasmi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit melaporkan anggota BBP Kanowit kini giat melakukan pemantauan dan melaksanakan misi bantuan untuk penduduk di kawasan terjejas.

Berdasarkan laporan awal yang dikeluar setakat jam 11 pagi tadi beberapa jalan raya utama kini dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Antaranya, jalan raya menuju ke kawasan Ngemah /Poi dekat sini dilaporkan dinaiki air pada ketinggian lebih semeter ketika ini.

Beberapa kawasan penempatan rumah panjang juga turut terjejas akibat dilanda banjir kilat.

Hujan lebat yang berlaku di Bahagian Kapit dan Song dikatakan antara penyumbang kepada berlakunya banjir di sini.

Masjid Ar-Rahman yang terletak di pekan Kanowit juga diaporkan turut dinaiki air pada masa sekarang ini.

Anggota bomba dengan kekuatan empat anggota yang terdiri daripada PBK II, TBK Rahimi, PB Gabriel,PB Maxxwel dan PB Alexsanda kini bertugas mengawasi laluan terlibat banjir bagi memastikan tiada kejadiaan tidak diingini berlaku.

Pihak bomba juga menasihat orang awam dan penduduk rumah panjang supaya bersiap sedia bagi berdepan sebarang kemungkinan dan mereka diminta menghubungi agensi berkaitan jika memerlukan bantuan.

Menurut kenyataan BBP Kanowit lagi setakat ini tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here