Saya lebih selesa bersama UMNO dan PAS berbanding Anwar -Azmin Ali

Selepas berdekad bersama-sama Presiden PKR Anwar Ibrahim, bekas timbalan presiden parti itu Azmin Ali berkata dia kini lebih selesa bekerjasama dengan Umno dan PAS.

Dia yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, seperti rakyat Malaysia lain, dia juga bosan diheret ke tengah-tengah perseteruan Anwar dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Soalan yang sering ditanya kepada saya, apakah saudara selesa duduk dengan Pas dan Umno? Saya jawab mudah saja,`saya lebih yakin duduk di sebelah Pas dan Umno daripada duduk dengan Anwar Ibrahim.

“Saya bukan kenal dia satu hari (atau) dua hari, berpuluh tahun (saya kenal), sudah-sudahlah,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Kedah di Alor Setar, seperti dipetik Astro Awani.

Katanya, perkara itu membuatkannya keluar PKR dan menyokong penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin, yang menurutnya sebuah kerajaan stabil yang berupaya memenuhi kehendak rakyat.

“Rakyat menderita di bawah, rakyat susah di bawah, hari-hari dia (Anwar) tanya bila aku nak jadi perdana menteri. Yang si Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata tunggulah bagilah aku enam bulan lagi, (Anwar) tak (setuju), (minta) tetapkan tarikh.

“Tuan-tuan, 20 tahun kami bincang siapa nak jadi perdana menteri, cukuplah tak ada kerja lain,” katanya lagi yang turut berpandangan bahawa Anwar dan Mahathir perlu berehat daripada politik.

Azmin bersama para pengikut dan anggota Parlimen yang menyokongnya menyertai Bersatu secara rasmi pada bulan lalu, menjadikan jumlah kerusi Parlimen yang dipegang parti itu kepada 31.

Muhyiddin juga mengemukakan usul penubuhan sayap baru dalam Bersatu untuk membolehkan ahli sekutu bukan Melayu memegang jawatan dalam parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here