Jalan perhubungan utama ke Ulu Baram dilaporkan runtuh kira-kira jam 5 petang pada Ahad.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Law Poh Kiong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh penduduk di kawasan berkenaan.
“Jalan yang runtuh adalah di Jalan Lapok-Kilo 10 berdekatan dengan kawasan Long Pilah dan Long Miri kira-kira jam 5 petang tadi.
“Diharap mereka yang sedang dalam perjalanan ke Ulu Baram untuk berhati-hati,” katanya pada Ahad.
Setakat ini, belum ada maklumat lengkap dan punca sebenar yang menyebabkan jalan tersebut runtuh secara tiba-tiba.
Video yang tular di aplikasi sembang sosial WhatsApp menunjukkan keadaan jalan raya yang runtuh menyebabkan pengguna tidak dapat melalui jalan tersebut sama ada untuk ke Miri mahupun ke Ulu Baram.