PDRM nafi maklumat tular kononnya pegawai polis dibunuh

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan satu maklumat yang tular di media sosial mengenai seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang kononnya dibunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata pegawai polis wanita berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Klang pagi tadi.

Beliau berkata video itu dianggap mengancam keselamatan pegawai polis berkenaan dan PDRM mengklasifikasikan kes itu sebagai satu bentuk ugutan jenayah.

“Kami siasat di bawah Seksyen 509 kerana perbuatan mengaibkan kehormatan, dan (kami) telah buka satu kertas siasatan berhubung kes ini. Kami akan siasat siapa (individu) yang menyebarkan gambar dan video itu di laman media sosial,” katanya.

Sementara itu, PDRM dalam kenyataan berkata berita yang mengaitkan pegawai polis wanita itu dengan kejadian bunuh adalah tidak benar sama sekali.

“Pegawai terbabit telah membuat laporan polis bagi menafikannya,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, gambar seorang wanita diikat tangan serta kakinya dan dibunuh secara kejam menjadi tular di media sosial, bersama dengan gambar pegawai wanita berkenaan, kononnya pegawai itu adalah mangsa kejadian bunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here