Bantah Pembangunan Di Padang Ipoh

Kira-kira 130 orang penduduk di Bandaraya Ipoh menyatakan bantahan terhadap pembangunan yang sedang dijalakan di sebahagian kawasan di Padang Ipoh, di sini.

Wakilnya, Roslan Ali berkata pembangunan tersebut akan mencacatkan pemandangan sebahagian daripada lokasi Jejak Warisan Ipoh.

Selain itu menurutnya sekiranya pembangunan tetap dijalankan, penduduk setempat akan mengalami kesukaran dalam menjalankan aktiviti rekreasi di Padang Ipoh seperti biasa.

“Sebelum ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tetap membina struktur pejalan kaki dengan menebang pokok yang telah ditanam sejak tahun 70-an, walaupun dibantah.

“Kini pembinaan projek baru ini pula akan merosakkan kawasan tempat latihan tertutup pemain kriket yang setiap hari menggunakannya sebagai tempat latihan.

“Pada asalnya ada tiga laluan latihan yang dibina namun hari ini MBI telah mengalihkan lorong latihan kriket itu dan menjadikan tempat asalnya sebagai stor,” katanya.

Pada masa sama, Roslan juga kecewa dengan kerja-kerja pembangunan tersebut yang mana tiada papan tanda yang memaparkan maklumat berkaitan tentang projek yang bakal dijalankan di situ.

“Mereka tidak meletakkan papan tanda maklumat projek di situ dan ia membuatkan warga setempat tertanya-tanya tentang projek berkenaan.

“Ada yang kata hendak dibangunkan kawasan kendera saji, ada juga kata hendak dibangunkan kawasan air pancut.

“Jika dibangunkan kawasan untuk kendera saji, saya bimbang kawasan itu akan dipenuhi orang menghisap rokok.

“Kami yang selalu berjoging dan beriadah di situ terpaksa pula menghirup udara yang kotor,” ujarnya lagi.

Justeru Roslan berharap agar kerajaan negeri dapat menghentikan segera pembangunan  tersebut.

Terdahulu Roslan dan beberapa wakil penduduk setempat hadir dan menyerahkan memorandum Bantahan Pembinaan Di Padang Ipoh kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Difahamkan memorandum yang sama turut diserahkan kepada Pejabat Datuk Bandar Ipoh di Bangunan MBI, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here