PPD DITEGUR CALON DI HADAPAN MENTERI

Seorang calon yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan ini berasa kecewa dengan sikap seorang pegawai kerajaan yang didakwanya tidak membantu beliau dalam kempen pilihan raya.

Calon berkenaan dikatakan mengadu perkara itu kepada Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu program santai yang kebetulan turut dihadiri pegawai terbabit.

Pegawai itu seorang yang berjawatan Pegawai Pendidikan Daerah hanya mendiamkan diri ketika calon tersebut meluahkan kekecewaannya di hadapan menteri berkenaan.

Dr Radzi dilihat cuba menenangkan calon itu dengan menepuk badannya sambil berkata, “sabar Datuk, dia orang kita juga”.

Namun calon tersebut menjawap, “dia orang luar bukan orang sini.”

Pegawai dan guru-guru yang hadir di majlis itu berasa terkejut dengan kata-kata itu yang mereka sifatkan boleh memalukan pegawai tersebut.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengaibkan pegawai kerajaan tersebut dan seolah-olah calon ini tidak memahami peraturan yang pejawat awam tidak dibenarkan terlibat dalam politik  ,” dakwa seorang pegawai yang hadir sama pada majlis itu.

Dalam program lain sebelum ini, seorang kontraktor juga dikatakan telah diadukan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Latif Ahmad disebabkan tidak memihak calon berkenaan.

Bagaimanapun menteri itu kemudian memberi reaksi bahawa beliau tidak mengenali individu yang dimaksudkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here