Wawancara Kerusi Sebab Menteri Tak Datang

Gelagat pengacara terkenal Indonesia, Najwa Shihab melakukan wawancara bersama sebuah kerusi menjadi tular gara-gara Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto yang sepatutnya menjadi tetamu undangan gagal menghadirkan diri.

Menerusi rakaman video rancangan ‘talkshow’ Mata Najwa disiarkan Narasi TV semalam, Najwa memaklumkan beliau telah menjemput Terawan beberapa kali untuk ditemubual berhubung cara kementeriannya mengendalikan krisis koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan di negara itu.

Najwa berkata, beliau tidak menerima sebarang respons daripada Terawan hingga menyebabkan beliau terpaksa bertanyakan soalan pada kerusi ketika sesi tersebut.

“Kenapa anda hilang? Anda jarang muncul di khalayak umum untuk memberi penjelasan tentang pandemik ini. Ia kelihatan seperti anda satu-satunya Menteri Kesihatan di dunia yang ‘low profile’ ketika krisis Covid-19 sedang melanda negara ini.

“Adakah penampilan anda di hadapan orang ramai tidak begitu penting?” soal Najwa tanpa mendapat sebarang jawapan.

Ancaman pandemik itu yang bermula sejak tujuh bulan lalu menyebabkan Indonesia kini mencatatkan kes jangkitan tertinggi di Asia dan Asia Tenggara.

Najwa berterusan mempersoalkan sikap tidak acuh Terawan dalam mengendalikan krisis Covid-19, malah beliau dengan lantang bertanyakan mengapa Menteri Kesihatan itu tidak meletak jawatan atas kegagalannya walaupun ditegur berulang kali oleh Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

“Sudah ramai Menteri Kesihatan berundur kerana gagal menangani krisis Covid-19. Sebagai contoh Menteri Kesihatan di New Zealand, Republik Czech, Poland, Brazil, Chile, Pakistan, Pengarah Kesihatan Awam Israel dan Presiden Agensi Kesihatan Awam Kanada.

“Soalan saya adalah, adakah cara kita menangani krisis ini adalah lebih baik daripada negara terbabit?” sindirnya.

Najwa bagaimanapun mengakhiri video tersebut dengan memberikan jemputan terbuka kepada Terawan untuk hadir di rancangan ‘talkshow’ berkenaan dan menjawab kesemua soalan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here