Man City terpaksa lupakan hasrat rampas kejuaraan

Hatrik Jamie Vardy menyentak harapan Manchester City untuk merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila menghadiahkan tiga tendangan penalti ketika Leicester menang 5-2 di tempat sendiri sementara tendangan penalti lewat Newcastle membolehkan mereka seri 1-1 di Tottenham Hotspur, sekali gus membangkitkan semula perdebatan tentang peraturan bola terkena tangan.

City beraksi tanpa beberapa pemain  utama kerana kecederaan dan juga jangkitan koronavirus (COVID-19) tetapi kerapuhan benteng pertahanan yang menjejaskan kempen mereka musim lepas kembali didedahkan dengan kepantasan dan penyudah berbisa Vardy ketika City bolos lima gol buat kali pertama sepanjang kerjaya pengurusnya, Pep Guardiola.

Kemenangan bergaya itu membolehkan Leicester melonjak ke tangga teratas liga tetapi mereka dipaksa bangkit dari ketinggalan selepas Riyad Mahrez membuka jaringan buat City seawal minit keempat.

“Masalahnya ialah kami memberikan tekanan tambahan ke atas diri kami untuk menjaringkan gol kedua dan ketiga,” kata Guardiola. “Kami perlu lebih tenang, kami tidak mempunyai pemain untuk menyerang dalam kotak penalti seperti sebelum ini.

“Saya tidak akan mengalah, saya akan cuba mencari penyelesaian.”

City dilaporkan hampir mendapatkan pemain pertahanan tengah kelab Benfica, Ruben Dias dan keperluan pemain sokongan di benteng pertahanan adalah jelas ketika Vardy mudah merobek gandingan pertahanan tengah, Eric Garcia dan Nathan Ake.

“Kami bermain dengan strategi mencemaskan mereka dan ia berhasil,” kata Vardy. “Kami tahu jika kami mengekalkan pelan permainan ini, kami akan mendapat beberapa peluang.”

Namun pemain berpengalaman, Kyle Walker, menjadi punca kebangkitan Leicester apabila beliau mengasari Vardy dalam kotak penalti, dengan Vardy sendiri menyempurnakan penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.

Vardy kemudian menyempurnakan hantaran Timothy Castagne untuk gol kedua peribadi dan mendapatkan satu lagi penalti dari terjahan Garcia.

Vardy tidak mempunyai masalah menewaskan penjaga gol City, Ederson sebelum James Maddison menjaringkan gol keempat.

Ake merapatkan kedudukan buat City enam minit sebelum tamat permainan dari tendangan sudut Mahrez tetapi selepas Vardy meninggalkan padang, satu lagi kekasaran memberikan  penalti ketiga Leicester, membolehkan Your Tielemens melengkapkan jaringan.

Tottenham mendapati diri mereka sudah ketinggalan lima mata di belakang Leicester dan Everton yang berkongsi tangga teratas selepas tercicir dua mata walaupun mempamerkan aksi memberangsangkan ketika  menentang Newcastle United.

Penyudah Lucas Moura pada minit ke-25 meletakkan Spurs di hadapan dalam separuh masa pertama sebelum penjaga gol Newcastle, Karl Darlow beraksi cemerlang menepis tiga cubaan dari Harry Kane sebelum satu cubaan Son Heung-min terkena palang buat Spurs.

Newcastle gagal mencipta sebarang cubaan tepat ke pintu gol sehingga diberikan penalti pada minit kecederaan apabila tandukan Andy Carroll terkena lengan Eric Dier dan pengadil memberikan penalti selepas menyemak monitor tepi padang.

Penjaga gol Spurs, Hugo Lloris, berjaya meneka arah bola tetapi tidak mampu menepis rembatan Callum Wilson dari memasuki pintu gol, menyebabkan malah pengurus Newcastle, Steve Bruce sendiri berasa segan dengan satu mata itu.

“Ia sememangnya tidak masuk akal,” kata Bruce ketika bercakap tentang pemberian tendangan penalti. “Kami  sepatutnya tidak terlalu gembira tetapi saya pastinya kecewa jika ia berlaku kepada kami.”

Leeds meneruskan rentak cemerlang sejak kembali ke Liga Perdana selepas 16 tahun apabila menewaskan Sheffield United 1-0 menerusi gol Patrick Bamford.

Selepas memberikan saingan sengit kepada Liverpool ketika tewas 3-4 pada perlawanan pertama liga, skuad kendalian  Marcelo Bielsa sudah menang dua perlawanan berikutnya dengan Bamford sudah menjaringkan gol dalam kesemua tiga  perlawanan.

Sheffield masih tanpa sebarang mata atau gol setakat musim ini selepas menamatkan saingan musim lepas di tangga kesembilan liga.

Pada perlawanan lain, West Ham United meraih kemenangan liga yang pertama mereka apabila membelasah Wolves 4-0 walaupun tanpa pengurus kelab, David Moyes kerana dijangkiti COVID-19.

Moyes masih memberi arahan dari rumahnya di mana beliau sentiasa berkomunikasi dengan kakitangannya dan pastinya gembira dengan apa yang beliau lihat apabila Jarrod Bowen membuka jaringan 1-0 pada separuh masa pertama.

Bowen menambah jaringan dalam separuh  masa kedua sebelum gol sendiri Raul Jimenez dan gol Sebastian Haller melengkapkan jaringan. 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here