Johor rancang wujudkan Zon Industri Perikanan

Kerajaan negeri akan mewujudkan Zon Industri Perikanan bagi memelihara dan melindungi habitat hidupan laut yang dihimpit kepupusan berikutan kesan daripada projek pembangunan pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya tiga daripada sembilan lokasi yang telah dikenal pasti di perairan Johor selatan sehingga ke barat untuk dijadikan zon berkenaan tahun depan.

Beliau berkata usaha itu dilihat akan dapat mengekalkan habitat hidupan laut antaranya melibatkan industri penternakan kerang, kupang dan ikan sangkar.

“Seperti industri kupang, realitinya ia dihimpit fenomena kepupusan.. bukan kupang yang pupus tetapi habitatnya,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat kawasan penternakan kupang di Kuala Masai, di sini, semalam.

“Oleh sebab itu, kita ambil inisiatif untuk memastikan dan mewujudkan Zon Industri Perikanan, dan cari kawasan yang ada untuk dipertahankan supaya tidak ada pembangunan-pembangunan yang boleh mengganggu (habitat) pada masa hadapan,” tambahnya.

Samsolbari berkata usaha itu juga dilihat akan dapat mengekalkan kedudukan Johor sebagai pengeluar utama negara bagi industri kerang dan kupang, sekali gus meningkatkan produktivitinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here