Bank pelaburan unjur KDNK Malaysia tumbuh 7% tahun depan

RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 2021 kepada 7% tahun ke tahun daripada 4% yang dijangkakan sebelum ini.

Bank pelaburan itu berkata, semakan tersebut dibuat selepas mengambil kira kemungkinan pengagihan vaksin Covid-19 dapat dilaksanakan secara meluas pada separuh ke-2 2021.

“Oleh yang demikian, vaksin itu sendiri dijangka mendorong ekonomi menjadi semakin baik secara beransur-ansur memandangkan isu berkaitan keberkesanan dan kebolehcapaian akan menjadi keutamaan dasar kesihatan awam tahun depan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia berkata, selain pembangunan vaksin, pemangkin lain bagi tahun depan adalah sokongan berterusan kerajaan, terutama pada awal 2021.

“Belanjawan 2021 oleh kerajaan dijangka tinggi, untuk mengimbangi sekatan yang sedang berterusan, sehingga vaksin tersedia secara meluas dan ini akan disokong oleh persekitaran kadar faedah yang sedia rendah,” katanya.

RHBIB berkata, lebih banyak sokongan bersasar dijangka diperkenalkan kerajaan tahun depan, susulan beberapa langkah sokongan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) yang diumumkan baru-baru ini, termasuk bantuan tunai yang akan dibayar pada Oktober 2020 dan Januari 2021.

“Tahun depan, kami menjangkakan sokongan akan lebih bersasar, diberikan kepada segmen ekonomi yang masih terjejas teruk akibat langkah sekatan seperti pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bantuan sosial kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) mungkin diperluaskan, sejajar dengan semakan Pendapatan Garis Kemiskinan daripada RM980 kepada RM2,208 untuk memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat,” menurutnya.

Bank pelaburan itu berkata, pertumbuhan penggunaan swasta diunjurkan lebih tidak menentu pada separuh pertama 2021.

Ia berkata, ini kerana ekonomi mungkin bermula dalam keadaan yang masih terkesan akibat momentum lemah ditambah dengan peningkatan kadar pengangguran serta pertumbuhan upah lebih rendah.

“Perbelanjaan, terutama untuk item berharga tinggi seperti hartanah dan kenderaan, kekal di bawah aliran jangka panjang dan diunjurkan tetap sederhana sehingga tahun depan,” menurutnya.

Mengenai defisit fiskal, RHBIB berkata, ia menjangkakan defisit menjadi lebih baik, iaitu kepada 5% daripada KDNK 2021 berbanding defisit 6.5% yang diunjurkan bagi tahun ini.

Penurunan itu didorong oleh perbelanjaan lebih rendah, walaupun masih tinggi berbanding dengan paras sebelum pandemik berlaku, dan peningkatan kutipan hasil.

“Berasaskan andaian vaksin Covid-19 hanya akan diagihkan pada akhir 2021, sokongan kerajaan mungkin diperlukan semasa awal tahun, sekali gus menjadikan keperluan perbelanjaan adalah lebih besar.

“Sebaliknya, kutipan hasil dijangka meningkat, walaupun mungkin hanya sedikit lebih baik berbanding paras 2019,” kata bank pelaburan itu.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), RHBIB yakin kadar faedah lazim akan ditetapkan semula pada 2021 susulan pembukaan semula sempadan dan penyambungan kembali aktiviti ekonomi.

“Setakat ini, kami menjangka kadar faedah meningkat 25 mata asas kepada 2% pada 2021, dengan mempertimbangkan ekonomi domestik memerlukan sokongan berterusan pada awal 2021,” menurutnya.

Ia berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR pada 1.75% bagi baki tempoh tahun ini memandangkan sokongan penting telah disediakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here