NGO lapor polis terhadap Anwar

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya memperoleh majoriti mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional yang didakwa berbaur hasutan.

Naib Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Selangor, D Nallan berkata, tindakan Ahli Parlimen Port Dickson membuat pengumuman itu juga didakwa mendahului Yang di-Pertuan Agong dan bertentangan dengan perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan Anwar itu secara langsung menimbulkan ketidakstabilan ekonomi dan mengganggu keamanan negara.

“Kita mendesak pihak berkuasa ambil tindakan ke atas Anwar kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Klang Selatan semalam.

Sebelum ini, Anwar menerusi satu sidang akhbar khas mengumumkan telah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here