Zahid Hamidi mohon maaf

Nasi sudah menjadi bubur. Itu gambaran lonjakan penularan jangkitan Covid-19 dari Sabah yang sehingga kini mencecah 119 kes sejak 20 September lalu.

Susulan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kerisauannya dan tampil memohon maaf dalam ciapan terbaharu di Twitter.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau bimbang dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu.

Katanya, PRN kali ke-16 yang diadakan secara mengejut itu bukannya pilihan awal Barisan Nasional (BN).

“Mewakil Umno/BN mohon maaf kepada rakyat dan frontliners berikutan peningkatan wabak akibat PRN Sabah yg diadakan bukan pilihan awal BN,” katanya.

Sehubungan itu, Zahid berharap ahli dan jentera BN pada PRN lalu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jaga diri dan berdoa Allah SWT pulihkan wabak ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, kempen PRN Sabah bermula selepas selesai penamaan calon pada 12 September dan berakhir 25 September lalu dengan membuang undi keesokan harinya.

Seramai 749,083 orang atau 66.61 peratus telah mengundi meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu.

Pengumuman Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa memiliki cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Setakat ini, sejumlah ahli politik dan petugas parti di Semenanjung sah dijangkiti Covid-19 sejurus pulang dari Sabah. Antaranya, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Mohd Razlan Rafii.

Shahril dilihat antara lain berkempen di DUN Tanjung Batu bagi membantu calon BN, N71 Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy manakala Razlan difahamkan berkempen di Sipitang.

Turut disahkan positif Covid-19 ialah Setiausaha AMANAH Pulau Pinang, Saifullah Abdul Nasir dan ADUN Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof.

Terdapat ahli politik juga sedang menjalani arahan kuarantin di rumah 14 hari ekoran mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dengan membantu kempen PRN.

Antaranya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR ekoran seorang kakitangan pejabatnya sah dijangkiti Covid-19.

Fahmi kali terakhir ke Sabah pada 5 dan 6 September lalu dan kali terakhir bertemu dengan kakitangan pejabatnya yang positif Covid-19 itu adalah pada 21 September lalu.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here