Butterworh, Julai-
“Kami berkali-kali minta life jacket (jaket keselamatan) daripada pemandu bot kerana waktu itu nampak macam nak hujan dan banyak budak kecil tetapi dia beritahu basah, tidak mengapa sebab jarak perjalanan ke resort dekat sahaja”, kata A. Sanggetha.
Sanggetha, 39 kehilangan suaminya, S. Arumugam,40 dan anak bongsu perempuannya, A. Sarrvihka, 3, dalam tragedi bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, kelmarin.
Menceritakan detik cemas terbabit, Sanggetha berkata, dia sebelum itu pergi makan di Pulau Perhentian Kecil bersama suami dan dua anak mereka termasuk beberapa ahli keluarga rakan suami yang semuanya terdiri daripada 15 orang membabitkan empat keluarga.
“Selesai makan, kami lihat keadaan cuaca macam nak hujan jadi kami buat keputusan untuk pulang ke resort kami di Pulau Perhentian Besar kira-kira jam 9 malam dan menaiki bot yang sama ketika kami datang.
“Di bot, suami serta rakan-rakannya minta jaket keselamatan dekat pemandu bot tetapi dia kata basah, selain jarak ke resort hanya ambil masa 10 ke 15 minit, namun ketika dalam perjalanan pulang hujan lebat ditambah dengan keadaan sangat gelap dan bot yang dinaiki mulai terumbang ambing.
“Saya kemudian pegang kuat anak sulung kami manakala suami pegang anak bongsu sebelum datang satu ombak yang amat besar menyebabkan bot terbalik,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Bayu Aman, hari ini menurut Berita Harian.
Katanya, dia berusaha keluar dari bot terbalik berkenaan dengan menarik tangan anak sulungnya berusia sembilan tahun, sebelum mereka berdua diselamatkan seorang lelaki yang melihat insiden berkenaan berhampiran kawasan terbabit.
“Ketika kejadian sebenarnya kami sudah menghampiri kawasan parkir bot dan boleh nampak lampu-lampu resort, namun keadaan laut bergelora.
“Saya juga sudah terpisah dengan suami, anak bongsu dan rakan-rakan suami yang masa itu ada anak sulung sahaja bersama saya yang kami berdua kemudian diselamatkan seorang lelaki,” katanya yang memaklumkan tidak tahu berenang tetapi berusaha mengapungkan badan.
Dalam pada itu, eksekutif syarikat swasta itu berkata, dia dan anak sulungnya kemudian dibawa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum mencari telefon untuk menghubungi rakan suaminya.
“Rakan kemudian maklumkan yang suami dan anak bongsu saya sudah meninggal dunia termasuk seorang lagi anak kepada rakan suami.
“Ketika ini saya tidak dapat berfikir apa-apa kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata, namun berharap tragedi seumpama ini tidak berlaku kepada orang lain.
“Apa yang perlu saya buat sekarang adalah menerima kenyataan kematian ini dan saya akan terus kuat demi satu-satunya anak sulung saya yang tinggal,” katanya.
Menurut Sanggetha, ini adalah kali pertama mereka sekeluarga bercuti ke Pulau Perhentian bersama rakan-rakan suaminya bagi meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke-40.





















