ADUN Jeram negatif Covid-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mengesahkan beliau negatif koronavirus (Covid-19) selepas tiga kali menjalani ujian saringan berkenaan.

“Alhamdulillah, ujian saringan Covid-19 kali ketiga setelah pulang dari Sabah,” katanya dalam status dimuat naik di Facebook beliau malam tadi.

Kerajaan sebelum ini menetapkan semua individu yang tiba dari Sabah akan disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa, bermula 27 September lalu hingga 10 Oktober depan.

Ia susulan peningkatan berterusan kes dan kluster Covid-19 di Sabah, selain bilangan pelawat dikesan positif jangkitan wabak terbabit apabila kembali ke Semenanjung dari negeri itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, hanya satu peratus atau 132 individu daripada 13,000 individu yang disaring selepas pulang dari Sabah disahkan positif Covid-19.

Katanya, mereka yang positif Covid-19 terdiri dalam kelompok pelbagai antaranya ahli politik, pelancong, ahli perniagaan dan kakitangan yang menghadiri tugas rasmi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here