Penamat perlumbaan Anwar jadi PM

TATKALA gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) ketika ini semakin kuat membadai Malaysia, timbul pula satu polemik politik yang menggemparkan rakyat sejak tiga minggu lalu.

Dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 diadakan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengejut bahawa beliau memiliki majoriti sokongan ahli Parlimen yang ‘meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut menyatakan menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dipanggil menghadap pada tarikh 22 September lalu, namun acara menghadap terpaksa ditangguhkan kepada esok susulan Seri Paduka Baginda gering dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Lebih menarik, Anwar turut menyatakan sebuah kerajaan ‘bumiputera Islam’ bakal terbentuk, dengan spekulasi 121 ahli Parlimen dikatakan bakal menyokong beliau termasuk 19 ahli Parlimen daripada parti UMNO.

Drama politik terkini negara menjadi semakin panas apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui, beliau tidak dapat menghalang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar kelak.

 

Angka 112

Namun, apabila sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan dakwaan itu, persoalannya adakah Anwar benar-benar mempunyai angka sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan?

Mengikut amalan demokrasi pembentukan kerajaan Malaysia, mana-mana parti atau gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen bagi memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.

Malangnya di atas kertas, Anwar ketika ini hanya mempunyai sokongan 91 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terdiri wakil rakyat DAP (42 kerusi), PKR (38 kerusi) dan Amanah (11).

 

Anwar

Menurut sumber PH, bagi mendapatkan majoriti mudah membentuk kerajaan, Anwar memerlukan tambahan sekurang-kurangnya 21 kerusi Parlimen, yang perlu datang daripada ahli Parlimen parti selain PH.

Ditambah dengan status Parlimen Batu Sapi, Sabah terpaksa dikosongkan pada 2 Oktober lalu susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Warisan, setiap kerusi adalah sangat penting kepada Anwar bagi memastikan ‘Langkah Anwar’ pada 13 Oktober ini berjaya.

“Terdapat beberapa senario yang boleh memungkinkan ‘Langkah Anwar’ pada kali ini berjaya. Pertama, beliau sememangnya bakal menerima sokongan lebih 20 Ahli Parlimen UMNO yang berada di bawah kem Zahid, ditambah sokongan Ahli Parlimen GPS melebihi 15 orang.

“Kedua, beliau masih menerima sokongan kem Mahathir dan Warisan seramai 14 ahli Parlimen, meyakinkan tiga ahli Parlimen lain daripada mana-mana parti untuk menyokongnya serta meraih kembali sokongan sekurang-kurangnya empat bekas ahli Parlimen PKR yang kini berada dalam kem bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Senario ketiga pula, selain sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN melebihi 20 orang, Anwar mungkin berjaya ‘mencuri’ sokongan beberapa Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah lompat parti dan meraih kembali sokongan Warisan bagi mendapatkan ‘angka’ meyakinkan sekurang-kurangnya melebihi 120 kerusi,” kata sumber PH itu kepada Sinar Harian semalam.

Sekalipun Anwar terbukti memiliki sokongan mencukupi, Presiden PKR itu masih berdepan pelbagai cabaran bagi meyakinkan Seri Paduka Baginda dalam pertemuan di Istana Negara esok.

“Kalau Anwar terbukti ada ‘angka’ sokongan, Agong mungkin akan meminta perkara itu dikemukakan dalam sidang Parlimen pada 2 November hadapan bagi mengelakkan institusi diraja dijadikan bahan kemarahan rakyat.

“Selain itu, Anwar juga sebenarnya berdepan dilema untuk memperjelaskan sokongan yang diterima kepada Agong kerana sokongan itu perlu dibuktikan bukan bersyarat untuk tujuan pembubaran Parlimen, tetapi sokongan mutlak dengan tidak lagi bersifat majoriti tipis,” kata penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian.

Bagi Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman pula, ‘Langkah Anwar’ kali ini perlu dipandang serius dan dilihat lebih meyakinkan berbanding sebelum ini.

Lebih menarik, beliau menegaskan, inisiatif itu buat pertama kalinya dilaksanakan Anwar secara persendirian dan tidak melalui pakatan politik.

“Langkah politik yang dibuat Anwar juga dilihat tepat pada masanya dan tidak akan mengundang kemarahan rakyat.

“Selain populariti (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin merudum gara-gara kerajaan double standard dalam menangani kes Covid-19, Yang di-Pertuan Agong juga sedar langkah pembubaran Parlimen tidak menjamin situasi politik lebih stabil,” katanya.

Mohammad Redzuan juga tidak menolak kemungkinan satu bentuk penjajaran politik baharu berteraskan ‘kerajaan bumiputera Islam’ dijangka terbentuk.

“Ramai tidak menyedari kemungkinan sokongan diberikan oleh ahli Parlimen kepada Anwar adalah secara individu dan bukan lagi berbentuk kepartian.

“Justeru, tiada masalah untuk Ahli Parlimen UMNO dan DAP duduk di bawah satu bumbung walaupun mereka sebelum ini dilihat sukar bekerjasama,” katanya.

Persoalannya, dengan sejarah Anwar sudah tiga kali membuat pengumuman mempunyai cukup majoriti untuk menjadi kerajaan, adakah Anwar dapat merealisasikan impiannya untuk duduk di kerusi empuk Perdana Menteri di Putrajaya kali ini?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here