MCA Buat Laporan Polis Terhadap Kenyataan DAP Perak, Dakwa Cemarkan Nama Agong

MCA Perak telah membuat satu laporan polis hari ini berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP Perak berkenaan sokongan 120 Ahli Parlimen menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ketua Pusat Perkhidmatan & Biro Pengaduan MCA Perak Low Guo Nan (Ah Nan) berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Admin laman Facebook DAP Perak telah membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam berita palsu tersebut demi kepentingan politik pihak mereka,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh hari ini.

Katanya, semalam laman Facebook bernama DAP Perak telah memuat naik petikan bertajuk Berita Sahih dengan isi kandungan lebih 120 Ahli Parlimen sudah sahih sokong Anwar Ibrahim sebagai PM dan akuan sumpah berkanun juga telah dipersembahkan kepada Agong pada pagi ini.

Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa bilangan tersebut menyakinkan dimana jumlahnya melebihi 112 majoriti yang diperlukan di mana mengikut Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Muhyddin Yassin wajib meletak jawatan segera dan Anwar wajar diberi peluang untuk membentuk kerajaan baru.

Menurut beliau, pihaknya melaporkan perkara ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami harap pihak berkenaan akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab di mana tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.

“Facebook bernama DAP PERAK telah beroperasi sejak tahun 2012 dengan adanya website parti, nombor telefon dan sebagainya.

“Ini merupakan Facebook rasmi kepunyaan DAP Perak di mana Nga Koh Ming selaku Pengerusinya harus bertanggungjawab atas perkara tersebut,” katanya.

Tambah beliau, DAP Perak juga tidak boleh menggunakan alasan akaun tersebut digodam oleh mana-mana pihak.

Tambah beliau, semua pihak perlu mengetepikan dahulu perebutan kuasa dan mengutamakan keselamatan rakyat berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini sekarang.

“Kita masih dalam proses memeranginya.                         

“Semua pihak patut berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Selain itu, kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here