Jawapan Yang Dipertua Dewan Rakyat terhadap surat Tengku Razaleigh

Saya merujuk kepada surat Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah bertarikh 25 September 2020 kepada saya dan surat jawapan daripada saya bertarikh 29 September 2020 kepada YBM Tengku Razaleigh.

Saya difahamkan bahawa surat-surat tersebut telah diedarkan oleh pejabat YBM Tengku Razaleigh dan telah menjadi pengetahuan umum.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepada saya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang YBM fikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan.

Saya telah menjawab kemusykilan YBM Tengku Razaleigh secara bertulis sepertimana dalam surat saya yang tersebut di atas. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh di atas kesudian YBM memberi peluang kepada saya untuk menerangkan kedudukan perkara tersebut secara lisan kepada beliau.

Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan. Malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri.

Adapun saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya ataupun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here