Pelaksanaan semula PKP tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

Isu pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesan terhadap harga barangan runcit di pasaran antara perkara yang bakal dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi tiga soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Shahidan Kassim (BN-Arau) dalam soalannya meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan mengapa sehingga kini kerajaan masih lagi tidak melaksanakan PKP memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang agak kritikal dan tidak terkawal, terutamanya di Sabah serta beberapa kawasan di semenanjung yang berstatus zon merah.

Ini diikuti Cha Kee Chin (DAP-Rasah) yang mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi menyatakan kesan Covid-19 dan pelaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terhadap harga runcit barangan di pasaran.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, isu berkaitan pindaan Artikel 145, Perlembagaan Persekutuan dan kesan boikot terhadap produk sawit negara dijangka menjadi tumpuan perbincangan dengan beberapa soalan akan diajukan.

Sementara Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) bertanya kepada perdana menteri sama ada kerajaan mempunyai rancangan memisahkan kuasa dan fungsi pendakwa raya daripada Pejabat Peguam Negara bagi memastikan kuasa pendakwaan yang lebih telus.

Dalam pada itu Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pula bertanya Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali sejauh mana tindakan Amerika Syarikat memboikot produk sawit keluaran Felda Global Ventures (FGV) memberi kesan terhadap eksport produk sawit Malaysia bagi tahun ini.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 esok.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here