Kuala Lumpur, Feb 24.
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kehadiran bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) dalam kosmetik dan produk penjagaan diri.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu itu bagi mengelakkan kesan yang teruk terhadap kesihatan awam.
“Kita pasti akan mengambil serius isu ini berikutan produk sedemikian boleh menjejaskan kesihatan awam memandangkan EDC mempunyai potensi untuk mengganggu sistem hormon.
“Penggunaan produk ini berupaya memberi kesan akut dan jangka panjang dan kita mesti mengambil perhatian terhadapnya. Sehubungan itu, kita akan melaksanakan siasatan mendalam mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (Mou) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan IHH Healthcare Malaysia di sini.



















