Pos Lejang bakal nikmati jalan baharu

Penduduk dari 14 perkampungan orang asli sekitar Pos Lejang di sini bakal menikmati kemudahan jalan lebih selesa melalui pelaksanaan projek pembinaan jalan kampung dari Pos Betau-Kampung Semoi Lama sepanjang 15.4 kilometer.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja pembinaan sudah bermula dan projek dijangka menelan kos RM15 juta itu akan siap dalam tempoh 18 bulan.

“Projek ini diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Ogos 2016. Bagaimanapun ia tidak dapat dilaksanakan dengan segera kerana peruntukan yang diluluskan tidak mencukupi dan memerlukan perubahan kepada kaedah pelaksanaan projek tersebut.

“Pelaksanaannya kemudian ditangguhkan berikutan perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun pada 22 Januari 2019, Kementerian Kewangan telah bersetuju meneruskan projek ini melalui peruntukan yang telah diluluskan,” katanya ketika perasmian projek pembinaan jalan itu di Pos Betau di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, jalan itu nanti akan memudahkan murid untuk berulang alik ke sekolah serta memudahkan penduduk untuk ke Klinik Kesihatan terdekat iaitu Klinik Kesihatan Pos Betau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here