Hulu Langat catat paling banyak kes keganasan rumah tangga

Hulu Langat merekodkan 70 kes keganasan rumah tangga, tertinggi di negeri ini antara Januari hingga September lalu.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata Gombak mencatatkan 34 kes, Subang Jaya (31), Klang (29), Petaling (25), Shah Alam (22) dan Kuala Langat (18).

Dr Siti Mariah Mahmud menambah Hulu Selangor merekodkan 11 kes, Sepang (sembilan), tiga di Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan dua kes.

 “Pelbagai jenis keganasan dilakukan iaitu dicederakan secara fizikal, meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal dan penderaan secara psikologi dan emosi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, statistik Unit Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor mendapati seramai 224 mangsa membabitkan wanita dan 30 ialah lelaki.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) menerima 4,872 aduan melalui panggilan telefon dan WhatsApp ‘Talian Think I Need Aid’.

“WAO juga bekerjasama membantu mangsa keganasan rumah tangga dengan menyediakan bantuan perubatan, tempat tinggal, pengangkutan, makan minum dan telefon.

“Sepanjang April hingga Jun lalu, seramai 31 individu dilindungi dengan perbelanjaan sebanyak RM11,466,” kata beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here