RM60 juta dipohon naiktaraf jalan ladang

Kerosakan jalan kebun dan jalan ladang telah mengakibatkan ramai pekebun kecil kelapa sawit khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sukar mengangkut dan menjual hasil pertanian mereka.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, Kerajaan Sarawak mengambil maklum mengenai perkara ini.

“Untuk itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.75 juta dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) bagi melaksanakan 9 buah projek infrastruktur dan jalan ladang telah dilaksanakan di kawasan DUN Kabong,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dalam Persidangan Hari Ketiga, Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-18, semalam.

Sementara itu Datuk Dr. Abdul Rahman menambah, kementeriannya melalui Jabatan Pertanian Sarawak telah memohon peruntukan awal di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) sebanyak RM50 juta daripada Kerajaan Sarawak dan RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina dan menaik taraf jalan ladang di seluruh Sarawak.

“Melalui peruntukan ini, sejauh 250 kilometer jalan ladang dan lain-lain komponen infrastruktur ladang akan dilaksanakan di seluruh Sarawak termasuk di DUN Kabong,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan dua skim bantuan iaitu Skim Bantuan Tanaman Baru Kelapa Sawit dan Skim Bantuan Bagi Produktiviti Kelapa Sawit kepada pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here