Penunjuk perasaan Guatemala bakar bangunan Kongres tuntut presiden meletakkan jawatan

Ratusan warga Guatemala membakar sebahagian bangunan Kongres kelmarin dalam tunjuk perasaan untuk menuntut peletakan Presiden Alejandro Giammattei, ekoran kelulusan belanjawan yang mencetuskan kemarahan di negara Amerika Tengah yang miskin itu.

Api dalam bangunan perundangan itu dapat dilihat dari jalan di Kota Guatemala, dan seorang jurucakap Persatuan Palang Merah memberitahu wartawan bahawa badan itu telah merawat beberapa orang kerana kemabukan.

Satu lagi tunjuk perasaan aman, yang turut menggesa Giammattei meletak jawatan, berlangsung di hadapan istana kerajaan lama di bahagian tengah ibu negara yang bersejarah, tidak jauh dari Kongres.

Sambil membawa bendera kebangsaan dan sepanduk yang menyebut “Tiada lagi rasuah”, “Giammattei keluar” dan “Mereka bermain-main dengan generasi yang salah”, penunjuk perasaan memenuhi dataran pusat di Kota Guatemala di hadapan istana lama.

Rasa tidak puas hati dan kemarahan yang berleluasa di Guatemala terhadap pentadbiran Giammattei dan Kongres disebabkan oleh kekurangan sumber untuk memerangi pandemik koronavirus, selain belanjawan baharu.

Kongres Guatemala, yang didominasi parti-parti prokerajaan yang konservatif, pada minggu ini meluluskan belanjawan hampir bernilai AS$13 bilion (RM56 bilion), yang terbesar dalam sejarah negara itu.

Kebanyakan dana akan diperuntukkan untuk infrastruktur yang dikaitkan dengan perniagaan besar, yang mencetuskan kemarahan di negara dengan kemiskinan yang berleluasa dan separuh daripada kanak-kanak berusia di bawah lima tahun kekurangan zat makanan.

Penganalisis turut memberi amaran bahawa satu pertiga daripada belanjawan itu perlu dibiayai hutang.

Kongres negara turut meluluskan AS$3.8 bilion (RM16 bilion) untuk melawan pandemik koronavirus, tetapi kurang 15 peratus daripada dana tersebut sudah dilaburkan.

Naib presiden kepada Giammattei berkata pada malam Sabtu lepas bahawa beliau sudah meminta presiden meletak jawatan bersamanya.

“Demi kebaikan negara, saya telah meminta kepadanya agar kami sama-sama mengemukakan peletakan kami,” kata Guillermo Castillo dalam satu mesej yang dipaparkan dalam media sosial.

Beliau juga dilaporkan memberitahu presiden bahawa “keadaan tidak betul”, dan mengakui ketegangan wujud di antaranya dengan ketua kerajaan.

Giammattei, seorang doktor berusia 64 tahun, memegang kuasa pada Januari lalu dengan janji untuk membersihkan gejala rasuah dan membanteras jenayah terancang.

Tetapi pemerintahannya didominasi kontroversi berhubung caranya menangani koronavirus, khususnya kekurangan di hospital negara.

Beliau juga telah berbalah secara terbuka dengan naib presidennya, yang pada Mei lalu mendedahkan kedua-dua mereka telah berbalah secara tertutup tentang  tindakan terbaik untuk menangani pandemik COVID-19. 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here