Mahathir dan Ku Li ada rancangan besar?

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin yakin bekas bos beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad dan musuh politiknya Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai rancangan besar selepas sidang media bersama mereka semalam.

“Jika esok tidak datang untuk Muhyiddin Mohd Yassin dan kerajaan tebuk atapnya, apakah yang akan terjadi?

“Atau yang lebih tepat, adakah mana-mana pihak yang ada cukup sokongan untuk mengambil alih dan siapakah bakal Perdana Menteri mereka?” katanya.

Bagi beliau, ramalan di sidang akhbar bersama Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah petang semalam menjurus ke arah kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Untuk pengetahuan generasi muda, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh ini adalah dua sahabat baik yang “bermusuh” dalam politik.

“Dr Mahathir panggil Tengku Razaleigh, “Li” dan Tengku Razaleigh panggil Dr Mahathir, “Doc” (untuk doktor).

“Jadi apabila mereka berkongsi sidang media dan bercakap berkenaan kejatuhan kerajaan PN, tentulah mereka mempunyai asas yang kuat,” katanya.

Bagi beliau, kalau tidak sama kuat dengan sokongan “strong, formidable, convincing” yang Anwar Ibrahim dakwa ada kepadanya, mungkin lebih kuat.

“Rasanya mereka tidak bercakap dalam nada “kuat, utuh, meyakinkan” yang Anwar dakwa. Kalau ia, tentulah Anwar hadir sama.

“Jadi kalau Doc dan Li ada sokongan yang lebih kuat daripada Anwar, siapakah calon mereka untuk ambil alih daripada Muhyiddin dan PN?

“Apakah gabungan Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh ini lebih daripada sekadar sidang media bersama,” tanya Kadir lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here