Bakal pemberi maklumat rasa tak selamat

Putrajaya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa meningkatkan perlindungan terhadap penjawat awam yang melaporkan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Bekas penasihat SPRM, Ramon Navaratnam berkata, perlu ada satu sistem untuk memastikan kerahsiaan laporan, dan Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan menggesa kesungguhan dalam meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

SPRM baru-baru ini berkata, hanya 0.01% daripada 1.6 juta penjawat awam di Malaysia cukup berani melaporkan amalan rasuah di jabatan mereka.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata, kebimbangan terhadap keselamatan diri dan pekerjaan antara alasannya.

Navaratnam berkata, mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan cara laporan rasuah dikendalikan, jika rakyat tidak yakin mereka dilindungi.

Beliau percaya rasa takut didedahkan juga wujud dalam kalangan ahli perniagaan dan orang ramai.

“Mesti ada keyakinan mutlak dalam kerahsiaan dan integriti sistem. Saya bimbang SPRM belum mempunyai kebolehpercayaan itu,” katanya kepada FMT.

Muhammad berkata, TI Malaysia sekian lama mengemukakan cadangan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Putrajaya untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Tetapi nampaknya tiada kemajuan sejak 10 bulan lalu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pindaan itu akan meningkatkan perlindungan kepada pemberi maklumat dan mendorong lebih ramai orang melaporkan amalan rasuah dalam sektor awam.

Beliau mendapati Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 menunjukkan 71% rakyat Malaysia yang ditinjau menganggap masalah rasuah dalam kerajaan ialah masalah besar.

Navaratnam berkata, SPRM perlu bekerjasama dengan CUEPACS untuk tampil dengan sistem tidak boleh disalahgunakan dalam menangani laporan rasuah kerana ini akan membina keyakinan dalam kalangan penjawat awam.

“Sekiranya mereka tidak boleh mendedahkan maklumat, maka sistem itu tidak berfungsi. Oleh itu, menjadi kewajipan SPRM untuk berbincang dengan CUEPACS.”

Tetapi, katanya, usaha memerangi rasuah tidak boleh diserahkan kepada SPRM dan perkhidmatan awam saja.

“Ia perlu menyeluruh, dinamik dan usaha yang disokong kemahuan politik kuat untuk membanteras rasuah. Jika tidak, kita akan meneruskan cara lama atau bertambah teruk.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here