Bayern Munich rampas tangga teratas Bundesliga

Pemenang Pemain Terbaik Dunia FIFA, Robert Lewandowski, menjaringkan dua gol termasuk gol kemenangan pada minit kecederaan ketika kelabnya, Bayern Munich menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 pada Sabtu dan merampas kedudukan teratas Bundesliga Jerman.

Lewandowski, yang menewaskan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk memenangi anugerah pemain terbaik dunia pada Khamis lepas, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 untuk meletakkan juara bertahan liga itu berkelebihan dua mata di tangga teratas liga menjelang cuti perayaan Krismas.

“Ia sentiasa menarik menjaringkan gol pada saat akhir, terutama sekali untuk mendapatkan kemenangan penting.

“Ini menunjukkan bahawa kami sentiasa mahu memenangi perlawanan seperti ini.”

Lewandowski sudah menjaringkan 20 gol dalam 18 perlawanan musim ini dalam semua pertandingan, dan turut mengikat kedudukan buat Bayern sebelum rehat selepas Patrik Schick membuka jaringan buat Leverkusen pada awal permainan.

Leverkusen kini berkongsi 28 mata dengan RB Leipzig, yang berada di tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Cologne.

Bayern adalah pasukan pertama yang menewaskan Leverkusen musim ini, selepas menamatkan rekod tanpa kalah Wolfsburg pada pertengahan minggu.

Untuk perlawanan liga ketujuh berturut-turut, Bayern bolos gol awal apabila Leverkusen mendedahkan kelemahan Bayern ketika bertahan dari tendangan bola mati.

Schick menewaskan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, yang dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik FIFA Khamis lepas, dari satu tendangan sudut pada minit ke-14.

Schick ada menjaringkan gol kedua pada minit ke-28 tetapi gol itu tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Bayern mengikat kedudukan pada minit ke-43 selepas pemain pertahanan Leverkusen, Edmond Tapsoba kehilangan bola, membolehkan Thomas Mueller mengumpan bola kepada Lewandowski yang tidak dikawal untuk melakukan penyudah.

Ketika Leverkusen membayangkan keputusan seri sudah memadai, Lewandowski menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir permainan.

Pada perlawanan lain, Borussia Moenchengladbach tewas 1-2 kepada Hoffenheim di  tempat sendiri dengan pasukan tuan rumah bermain dengan 10 pemain pada 11 minit terakhir selepas penyerang Marcus Thuram dibuang padang selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati beliau meludah ke arah pemain pertahanan Hoffenheim, Stefan Posch.

Pada perlawanan lain, walaupun melantik Huub Steven sebagai jurulatih ketiga mereka musim ini, Schalke kini masih tanpa kemenangan dari 29 perlawanan selepas tewas 0-1 kepada Arminia Bielefeld.

Werder Bremen menewaskan Mainz 1-0 menerusi gol Eren Dinkci pada penampilan sulung beliau dalam Bundesliga.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here