Ingkar arahan: MDHS tutup kilang lebur kuprum

Sebuah kilang melebur kuprum di Jalan Zurah 1, Perindustrian Zurah, Hulu Selangor ditutup dalam operasi dijalankan pada 31 Disember lepas.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata operasi tersebut dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis selepas premis tersebut ingkar arahan.

“Operasi dilaksanakan berdasarkan keingkaran premis kerana melanggar syarat notis penutupan bertarikh 27 November iaitu memecahkan mangga dan rantai selain melakukan proses melebur tanpa kelulusan JAS dan MDHS.

“Semasa siasatan di dalam premis dijalankan, didapati peralatan dalam keadaan panas serta terdapat bahan mentah untuk diproses,” katanya menerusi kenyataan semalam.

MDHS berkata ketua pegawai eksekutif syarikat dan wakil premis dipanggil untuk hadir ke premis untuk perbicangan ringkas.

“Notis penutupan dilakukan di bawah Undang-undang Kecil 43(1)(a) dan (b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007 selama 14 hari berkuat kuasa 31 Disember hingga 13 Januari.

“Pemantauan berkala akan dilaksanakan bagi memastikan premis tidak beroperasi. Pihak kami turut meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Selangor memotong bekalan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here