Penampilan awal tahun baharu bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang lebih kurus dan ceria menarik perhatian orang ramai.
Rata-rata warganet memuji mantan Ahli Parlimen Pandan yang dilihat mengalami masalah berat badan ketika aktif dalam arena politik sebelum ini.
Tokoh pembongkar rasuah kepimpinan kerajaan BN itu berkongsikan gambar terkini beliau di Facebook malam tadi dengan penampilan lebih sihat dan nampak lebih muda.
Menerusi foto itu, Rafizi dilihat mengenakan jam tangan pintar Garmin Venu yang memfokuskan gaya hidup cergas dan sihat dengan mampu mengira jumlah kalori terbakar selepas aktiviti senaman kardio dan senaman kekuatan.
Selain kagum dengan usahanya yang berhasil untuk kurus, ada juga komentar meminta Rafizi yang bakal berusia 44 tahun pada 14 September ini agar kembali dalam gelanggang politik.
‘Pujukan’ itu muncul ketika barisan pembangkang dilihat masih tercari-cari formula untuk bersepakat menentang Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Dalam masa sama, ada juga yang ‘mengusik’ Rafizi sama ada akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandangkan baju merah yang dipakai dalam gambar itu.
Untuk rekod, Rafizi pada 10 Disember 2019 memberitahu tidak berniat kembali aktif dalam politik selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Beliau berkata, mahu memberi tumpuan kepada kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) selain mahu terus menjadi ‘orang biasa’ serta menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakannya.
Walau bagaimanapun, Rafizi pada 12 Oktober tahun lalu memuat naik status ringkas di Facebook dan Twitterbeliau dengan menulis “Nantikan” berserta tagar (tanda pagar) #UntukSemua.
Status tersebut muncul menjelang detik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah keesokan harinya.
Susulan itu, ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) menganggap Rafizi yang juga bekas Pengurus Kanan (Perakaunan, Belanjawan dan Percukaian Antarabangsa) Petronas berkenaan sedang memberi isyarat akan kembali ke gelanggang politik.
Ketika PH menguasai Putrajaya, beliau pernah mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan PKR pada 14 September 2018 untuk jawatan Timbalan Presiden parti.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak bersama 10 lagi wakil rakyat PKR dikenali sebagai pemain utama rampasan kerajaan PH menerusi Langkah Sheraton bersama kumpulan Muhyiddin daripada Bersatu.
Rafizi pada 13 Disember lalu memberitahu sudah lama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang individu-individu tertentu dalam PKR yang digelar “sangat kuat membodek”.
“Ini permainan budak-budak keliling Anwar Ibrahim yang hanya muncul lepas beliau dibebaskan dari penjara dan menjadi bakal PM; yang sangat kuat membodek demi tempat kalau beliau jadi PM.
“Kalau Anwar Ibrahim tidak segera bertindak, beliau akan pikul biawak hidup. Saya dah nasihat lama,” tegasnya.
Anwar menerusi buku berjudul ‘Anwar Returns: The Final Twist’ (2015) yang ditulis oleh peguam Australia, Mark Trowell pernah menyebut bahawa Rafizi sahaja yang layak mengambil alih tempatnya selaku pemimpin di dalam PKR.