Kuala Lumpur, Julai-
Jabatan Imigresen menahan 1,005 majikan kerana disyaki menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI) dalam tempoh antara 1 Januari hingga 3 Julai tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka yang ditahan terdiri majikan pelbagai sektor termasuk restoran, kilang dan kedai.
“Kebanyakan majikan yang ditahan adalah warga tempatan yang melindungi warga asing tanpa pas atau permit sah.
“Sehingga Julai ini, kita mencapai 70 peratus Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan saya percaya menjelang akhir tahun, kita mampu melepasi sasaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Larian Imigresen Kuala Lumpur (IMI KL Run) dan program Hari Bertemu Pelanggan di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Zakaria berkata dalam tempoh sama, pihaknya melaksanakan 6,913 operasi di seluruh negara membabitkan pemeriksaan terhadap 97,322 warga asing, dengan 26,320 tangkapan dilakukan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen.
“Kita akan terus mempergiat usaha ini dan tidak akan berkompromi atau membiarkan PATI berleluasa seperti digambarkan segelintir masyarakat,” katanya.
Mengenai program hari ini, beliau berkata ia disertai lebih 800 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan akan diteruskan bagi mengetengahkan peranan Jabatan Imigresen dan merapatkan hubungan jabatan itu dengan masyarakat.
Acara larian membabitkan dua kategori iaitu lima dan 10 kilometer melalui laluan sekitar Pejabat Imigresen Kuala Lumpur.