Dua pusat HSO Covid-19 di Tanah Merah

Dua sekolah di jajahan ini dijadikan pusat menempatkan individu mempunyai kontak rapat pesakit positif Covid-19 yang perlu menjalani Pengawasan dan Pemantauan Di Rumah (HSO) pada musim banjir.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, dua pusat tersebut iaitu Kolej Vokasional Tanah Merah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nik Daud diaktifkan pagi Khamis.

Menurutnya, setakat ini seramai 39 mangsa ditempatkan di Kolej Vokasional Tanah Merah dan lima orang yang berada di SK Nik Daud sudah dibenarkan menjalani kuarantin di rumah kerana kawasan kediaman sudah selamat didiami.

“Dalam hal ini, kami amat mementingkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melibatkan 28 petugas di kedua-dua pusat terbabit bagi mengelak penyebaran jangkitan.

“Selain menggunakan pakaian pelindungan diri, petugas tidak dibenarkan berada dekat dengan kesemua mereka yang menjalani kuarantin,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang sempena kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nazran Muhammad dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Mohd Anis Hussein.

Dalam perkembangan sama, Said berkata, bekalan keperluan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS sepanjang gelombang ketiga mencukupi.

“Sebanyak RM1.4 juta telah diperuntukkan untuk persiapan banjir sepanjang tahun lalu dan digunakan untuk awal tahun ini juga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here