Lelaki warga asing seludup rokok ditahan

Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya merampas sebanyak 120 bungkus rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dalam serbuan di persisir pantai Kampung Sinakut, Tungku, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, seorang lelaki dalam lingkungan umur 25 tahun telah ditahan dalam operasi itu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga asing sedang menaiki motosikal telah ditahan setelah dilihat berkelakuan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, suspek didapati membawa 120 bungkus rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Gan, rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,742.40 selepas cukai dan nilai keseluruhan rampasan termasuk motosikal berjumlah RM6,742.40.

Katanya, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan penjara dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here