Tiga kes kapal karam di Pantai Timur Sabah dalam seminggu

Tiga kejadian dalam seminggu kes kapal karam di Perairan Pantai Timur Sabah, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang masih hilang dalam dua kejadian itu masih diteruskan.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata sembilan aset dari pelbagai agensi iaitu Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang menjalankan operasi SAR.

“SAR yang meliputi seluas 303 batu nautika itu dilaksanakan bagi mengesan lima lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian bot tunda dan bot tunda nelayan di perairan Kuala Kinabatangan Besar dan perairan Kuala Meruap,” katanya.

Beliau berkata kejadian ketiga kapal karam melibatkan sebuah kapal kargo Mermaid Challenger yang karam di Perairan Terumbu Segama, kira-kira 67 batu nautika dari Sandakan, petang 17 Januari lepas.

“Tujuh krew kapal kargo itu berjaya diselamatkan oleh KD Sri Gaya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah menerima panggilan radio kecemasan dari krew kapal kargo berkenaan,” katanya.

Tujuh yang terselamat iaitu kapten kapal; Billy Odong, 50, Sadani Abdullah ,52, Mustafa Bidin , 33, Mohd Akin Mandu , 41, Mohammad Shariel Thomas Jalong , 18, Thomas Jalong Njau , 57, dan Norhamri Abdul Satar ,61.

Beliau berkata kapal kargo berkenaan yang telah tenggelam 70 peratus dan kini lokasi telah dikenalpasti akan diambil tindakan oleh Jabatan Laut dan pihak syarikat berkenaan,” katanya.

Manakala, Ahmad Firdaus berkata SAR tiga mangsa bot tunda Ever Winner yang karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar pada awal pagi Rabu lepas, masih diteruskan.

“Tiga mangsa yang masih dilaporkan hilang, kapten bot iaitu Mohamad bin Mal, 49, serta dua krew, Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22, dan Azlan Hassan, 23, masih belum ditemui.

“Bot tunda Ever Winner dikendalikan oleh empat kru termasuk kepten difahamkan sedang menunda sebuah tongkang (barge) Ever Eternity, membawa muatan minyak sawit mentah bersama seorang krew telah mengharungi cuaca buruk sebelum disedari hilang oleh syarikat pengangkutan bot tersebut pada jam 4.00 pagi Rabu,” katanya.

Beliau berkata Ketua jurutera bot Ever Winner, Asman Mohamad, 31, yang merupakan anak kepada kapten bot yang masih hilang telah terselamat.

“Seorang lagi terselamat iaitu krew tongkang Ever Eternity, Rosli Antala, 48, selepas tongkang itu terkandas di kawasan cetek berhampiran pesisir muara Kinabatangan Besar,” katanya.

Dalam kejadian kedua, Ahmad Firdaus berkata sebuah bot pukat tunda nelayan tempatan bersama empat krew termasuk tekong terbalik dan karam di perairan Kuala Meruap, Sandakan, awal pagi Jumaat.

Beliau memberitahu bot tersebut dikatakan terbalik dan karam akibat dipukul ombak besar ketika sedang melakukan aktiviti perikanan sekitar jam 4.00 pagi, 15 Januari lepas.

“Dua mangsa dikenali Adrian @ Agus Bahtiar, 45, warga Indonesia dan Oyong @ Herman ,35, warga Filipina berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang melalui kawasan tersebut sekitar jam 6.30 pagi.

“Dua lagi mangsa iaitu tekong Andi bin Manso, 40, dan Sindora, 42, masih hilang. Kedua-duanya warga Indonesia dan pencarian sedang giat dijalankan,” katanya.

Ahmad Firdaus mengingatkan mengingatkan kepada komuniti nelayan agar sentiasa peka kepada amaran cuaca dan bencana alam seperti hujan lebat, ribut dan angin kencang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Elakkan keluar ke laut jika cuaca tidak mengizinkan. Patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak dari berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang menemui sebarang petunjuk atau bukti berkaitan kedua-dua SAR diminta untuk menyalurkan maklumat terus ke bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here