AS diminta tidak mungkir janji tutup jel Guantanamo

Amerika Syarikat (AS) diminta menunaikan janjinya yang mahu menutup penjara Guantanamo di Teluk Guantanamo, Cuba yang sebelum ini dijadikan sebagai pusat untuk menahan para tahanan keganasan daripada pelbagai buah negara.

Majalah Time pernah melaporkan dua hari selepas Barack Obama mengangkat sumpah jawatan Presiden AS pada tahun 2009, beliau mengeluarkan arahan eksekutif supaya pusat tahanan itu ditutup tetapi sehingga kini ia masih berfungsi seperti biasa.

Penjara itu menjadi popular kerana pada peringkat awal pentadbiran Presiden AS, George W Bush, beliau mengeluarkan arahan supaya sebuah penjara untuk penjenayah berbahaya ditubuhkan ketika menghadapi perang bagi menentang keganasan.

Ia diwujudkan selepas peristiwa serangan pengganas yang menyebabkan dua bangunan berkembar iaitu Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York runtuh akibat dirempuh dua pesawat komersial yang dirampas pengganas pada 11 September 2001 yang mengakibatkan hampir 3,000 orang terbunuh dan lebih 6,000 lagi cedera.

Pada tarikh yang sama juga, serangan pengganas dilakukan ke atas ibu pejabat Jabatan Pertahanan AS yang dikenali sebagai Pentagon di Arlington, Virginia dengan menggunakan sebuah kapal terbang mengakibatkan lebih 100 orang terbunuh.

Sebuah lagi kapal terbang terhempas di sebuah padang di Pennsylvania selepas dirampas pengganas ketika dalam penerbangan ke Washington D.C dan dikatakan mahu merempuh sama ada Rumah Putih atau bangunan Capitol iaitu tempat Dewan Senat dan Dewan Perundangan AS bersidang dengan 44 orang yang menaiki pesawat itu terbunuh.

Akhbar New York Times pernah menggelarkan penjara Guantanamo sebagai pusat tahanan misteri dan ia pernah didiami oleh ramai tahanan daripada pelbagai negara yang dituduh terlibat dalam kejadian keganasan terutamanya daripada kumpulan Al-Qaeda sebelum mereka dibebaskan.

Antara tahanan terkenal ialah David Hicks iaitu warga Australia yang dikenali dengan nama jolokan Taliban Australia tetapi dibebaskan pada tahun 2007 selepas ditahan lebih lima tahun dan setelah mengaku kepada Suruhanjaya Tentera AS bahawa beliau menyediakan bantuan sokongan untuk tujuan keganasan.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Rusia menuntut janji kepada bakal Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika pada Rabu supaya menutup pusat tahanan tersebut.

Menurut agensi berita TASS, seorang jurucakap kerajaan Rusia, Maria Zakharova dilaporkan berkata pada satu sidang akhbar bahawa pentadbiran baharu AS diharap menunaikan janji menutup penjara Guantanamo tanpa sebarang penangguhan dan memberikan layanan adil serta tidak berat sebelah kepada para tahanan.

Mengulas lebih lanjut, katanya, Rusia berharap AS akan mengendalikan satu siasatan dan membawa ke muka pengadilan mana-mana individu termasuk di dalam kerajaan kerana terlibat dengan penahanan rahsia, penangkapan orang awam secara sewenang-wenang, penyeksaan, penderaaan dan penggunaan taktik soal siasat yang keras atas alasan untuk membendung keganasan.

Bukan sahaja Rusia tetapi pertubuhan Amnesty International (AI) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut meminta penjara Guantanamo di sebuah kawasan yang dipajak oleh AS di Cuba sebagai syarat kepada kemerdekaaan negara tersebut turut ditutup.

Menurut AI, penjara itu adalah simbol penyeksaan, para tahanan ditahan tanpa bicara dan hanya tujuh orang telah disabitkan kesalahan termasuk lima orang di bawah perjanjian pra-perbicaraan yang menjanjikan mereka dibebaskan sebagai tukaran untuk pembebasan.

Bagaimanapun, AI berkata, lima tahanan yang dibicarakan oleh suruhanjaya tentera AS itu didapati tidak mengikut standard perbicaraan yang adil.

Presiden Donald Trump daripada parti Republikan sebelum ini turut mengeluarkan arahan eksekutif bagi mengekalkan penjara itu pada tahun 2018 dan pernah menyatakan para pengganas yang ditangkap AS akan dihantar ke pusat tahanan tersebut.

Menurut AI, penjara tersebut sebelum ini mempunyai kira-kira 700 tahanan daripada hampir 50 buah negara dan Bush pernah menyatakan hasrat untuk menutupnya dan ia mempunyai 242 tahanan semasa penggal pemerintahannya berakhir pada Januari 2009.

Hanya seorang tahanan Guantanamo telah dipindahkan ke AS untuk menghadiri satu perbicaraan di sebuah mahkamah awam.

Penjara itu yang kini dilaporkan hanya mempunyai kira-kira 40 tahanan dan terletak di dalam kawasan pusat Tentera Laut AS yang dilengkapai dengan landasan untuk jet-jet termasuk pesawat tentera Amerika serta dipajak dari Cuba sejak awal tahun 1900 dibuka untuk tahanan berkaitan keganasan pada tahun 2001.

Biden pernah memberikan petunjuk beliau berminat untuk menutup penjara tersebut dan pasukan kempen pilihan raya Presidennya pada bulan Jun tahun lalu memberitahu akhbar New York Times bahawa bekas Naib Presiden AS itu menyokong supaya ia ditutup.

 Justeru, seorang bekas kakitangan di Pusat Untuk Hak-Hak Berperlembagaan di AS, J Wells Dixon memberitahu portal berita Middle East Eye bahawa persoalan kini adalah sama ada pentadbiran Biden akan menyerahkan kepada Kongres AS untuk membuat keputusan atau beliau sendiri akan mengambil tindakan eksekutif menutup penjara tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here