MIC sifatkan MB Kedah ‘angkuh, jahil,’ batal cuti peristiwa Thaipusam

Pemimpin tertinggi MIC hari ini menyelar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai “angkuh” dan “rosak” berikutan keputusan beliau membatalkan cuti perisitiwa untuk sambutan Thaipusam di negeri itu.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata keputusan Sanusi itu menyerlahkan sikap angkuh dan jahil beliau terhadap penganut Hindu.

“Sungguhpun cuti Thaipusam adalah budi bicara kerajaan negeri, keputusan (pembatalan cuti peristiwa) itu mempamerkan keangkuhkan kerajaan pimpinan PAS di Kedah,” kata Saravanan dalam kenyataan.

Beliau kesal kerana Sanusi tidak mengadakan sebarang rundingan dengan pemimpin pusat MIC yang mewakili kaum India dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

 “Jika MIC di bawa berbincang sebelum keputusan dibuat, sudah tentu MIC tidak membenarkan pelaksanaan keputusan ini,” kata Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.

Sanusi mengumumkan Thaipusam bukan cuti peristiwa untuk tahun ini kerana sambutan perayaan pada 28 Jan itu dibatalkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memerangi Covid-19.

Sebelum ini Kedah, Selangor dan Pulau Pinang saban tahun mengisytiharkan cuti perisitiwa untuk Thaipusam.

Susulan Covid-19, sambutan Thaipusam di tiga negeri itu dibatalkan namun cuti peristiwa dikekalkan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang tetapi tidak oleh kerajaan negeri pimpinan Sanusi.

Saravanan berkata adalah salah untuk Sanusi menganggap penganut Hindu tidak menyambut langsung Thaipusam kerana Covid-19.

“(Covid-19) tidak bermakna kita tidak boleh menyambutnya di rumah. Perayaan ini bukan bertumpu kepada mengunjungi kawan atau ahli keluarga tetapi lebih kepada menunaikan sembahyang dan membayar nazar,” kata beliau.

Saravanan kata kerajaan Kedah adalah yang pertama membatalkan cuti Thaipusam menggunakan alasan Covid-19, meskipun pandemik itu bermula pada awal tahun lalu.

Beliau berkata keputusan Sanusi itu akan menimbulkan kemarahan penduduki kaum India yang merangkumi sejumlah besar pengundi di negeri itu.

“Tindakan Menteri Besar Kedah itu akan menjejaskan kerajaan PN pada pilihan raya umum akan datang kerana “luka ini sukar sembuh.”

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC T Mohan menyifatkan banyak keputusan Sanusi membabitkan kepentingan kaum India “rosak,” dan berbaur politik.

“Pandangan dia (Sanusi) rosak sikit. Bagi saya, ia lebih kepada politik untuk cari publisiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here