Guna dana USP sedia 2 juta komputer, pakej internet setahun: Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kerajaan menggunakan dana Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi menyelesaikan masalah kekurangan komputer bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu cuma berjaya melancarkan satu projek mega iaitu projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion.

Menurutnya, projek tersebut dilancarkan sepantas kilat oleh PH dalam masa kurang setahun mereka mentadbir di mana antara penerima manfaat terbesar projek itu merupakan syarikat Opcom.

“Nilai saham Opcom mencanak naik berganda-ganda semasa kerajaan PH mengumumkan kelulusan projek tersebut.

“Sumber dana terbesar bagi projek tersebut ialah dari USP yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi (dan Multimedia).

 “Tabung tersebut diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu di mana semua telco besar dalam negara akan menyumbang sekitar RM2 bilion setiap tahun kepada tabung tersebut.

“BN tinggalkan RM8 bilion dalam tabung semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata, projek NFCP diteruskan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mana sejumlah RM7.4 bilion akan diperuntuk SKMM untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar bagi 2021 dan 2022.

Perkara itu, katanya, dinyatakan oleh Menteri Kewangan PN dalam ucapan bajet 2021. 

“Tahun 2022 belum sampai lagi maka peruntukan dari tabung SKMM tersebut boleh diagihkan pada tahun ini untuk memberi 2 juta komputer serta pakej internet percuma untuk setahun kepada murid-murid sekolah yang terpaksa menjalani PdPR akibat pandemik Covid.

“Kos bagi 2 juta komputer bersama pakej internet setahun dianggarkan sebanyak RM2 bilion. Cara ini juga yang pernah digunakan kerajaan BN dahulu untuk memberi sekitar 1.7 juta netbook 1Malaysia semasa saya Perdana Menteri. Dana juga dari tabung SKMM,” katanya.

 Mengulas lanjut, Najib berkata, cara ini jauh lebih adil, lebih memanfaatkan dan lebih menyeluruh berbanding rancangan kerajaan PN sekarang untuk memaksa tabung simpanan rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyumbang dana kepada skim pemberian 150,000 komputer bernilai RM150 juta.

“Yang perlu komputer sekarang, berjuta-juta murid sekolah. Yang diberi komputer pula, cuma 150,000? Dana dari tabung simpanan rakyat sendiri pulak!

“Untuk pulihkan tabung SKMM tersebut untuk membiayai kos projek NFCP bagi tahun 2022, kerajaan PN boleh pertimbangkan untuk menjual spektrum 5G secara open tender seperti dibuat negara-negara lain.

“Sebagai contoh, open tender spektrum 5G di Amerika Syarikat dianggarkan akan bernilai AS$78 bilion (RM315.2916 billion),” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan BN semasa beliau menjadi Perdana Menteri juga memerlukan lapan syarikat telco tempatan membayar berbilion-bilion untuk mendapat spektrum dan lesen 4G.

Menurutnya, kerajaan PN tidak boleh sekali lagi memberi spektrum dan lesen 5G secara senyap-senyap tanpa tender dan terpaksa ‘u turn’ apabila pemberian itu terbongkar dalam media seperti apa yang berlaku tahun lalu.

“Open tender bagi spektrum 5G Malaysia kali ini adalah satu keperluan sebab kekuatan kewangan kerajaan dan Petronas sudah terjejas akibat tempoh ‘gagalkrasi’ PH yang tambah hutang negara pada kadar paling laju sekali berbanding BN selain menjarah rizab RM176 bilion Petronas ditinggalkan kerajaan BN dan juga akibat penggunaan kerajaan PN untuk melawan Covid pada keadaan pelaburan asing diterima Malaysia menjadi paling corot dalam ASEAN.

“Buatlah cara ini serta merta sebab saya percaya dana dalam Tabung USP ini masih ada.

“Syarikat-syarikat telco juga tidak akan membantah kuat sebab mereka berpeluang menaikkan pendapatan dengan tambahan 2 juta pelanggan pakej internet yang diberi bersama komputer,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here