Patuhi SOP, elak wujud Kluster Tahun Baharu Cina – Dr Sim

Masyarakat Cina diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ia penting bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan mengelakkan wujudnya Kluster Tahun Baharu Cina di negeri ini.

Beliau memberitahu kewujudan beberapa kluster baharu di Sarawak adalah disebabkan oleh aktiviti berkumpul dalam kalangan keluarga.

“Justeru, masyarakat Cina diharap dapat membantu kerajaan negeri memerangi wabak COVID-19 dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Angpau terbaik untuk Tahun Baharu Cina kali ini adalah duduk di rumah,” kata Dr Sim menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka, elakkan kawasan yang sesak dan kerap membasuh tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi tangan.

“Malah mereka juga dinasihati supaya elak daripada berjabat tangan dan jangan mengadakan aktiviti berkumpul secara besar-besaran serta mengamalkan penjarakan fizikal  setiap masa.

“Jadi, sayangilah keluarga anda dan pastikan mereka selamat daripada COVID-19,” tegas beliau.

Terdahulu, sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba, Dr Sim bersama Datuk Bandaraya Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng dan kaunselor MBKS yang lain telah menyempurnakan acara menghidupkan lampu perayaan di Pasar MBKS dan Jalan Padungan di sini.

Meskipun negara berhadapan dengan wabak COVID-19 namun kata beliau, semangat perayaan itu tetap semakin dirasai.

“Ini kerana rakyat Sarawak tetap bersama biarpun dalam kegembiraan atau kesusahan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here