Bagan Serai, Dis 22.
Polis telah menggempur sebuah lokasi yang didakwa menjadi penempatan etnik Rohingya di Kampung Parit Haji Ali di sini.
Operasi bersepadu itu dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1, Jabatan Imigresen, Pejabat Agama daerah Kerian, Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis Daerah Kerian.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, operasi digerakkan selepas mengesan satu video tular di media sosial mengenai keresahan penduduk terhadap kehadiran etnik tersebut ke kawasan itu, pada 12 Disember lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 14 rumah terlibat di penempatan itu dan polis turut menahan 19 warga Myanmar bersama seorang warga tempatan yang berada di situ.
Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk pemeriksaan lanjut.




















