7,402 anggota bomba terima vaksin fasa pertama

Seramai 7,402 anggota bomba seluruh negara akan menerima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 999 daripadanya adalah anggota yang bertugas di Sarawak, 945 (Selangor), 784 (Johor) dan 740 (Sabah).

“Secara keseluruhannya di Malaysia terdapat 15,000 anggota bomba dan vaksin akan diberikan berperingkat.

“Kita serahkan hal pemberian vaksin ini kepada Kementerian Kesihatan kerana mereka bertanggungjawab menentukan langkah seterusnya, termasuk untuk pemberian fasa-fasa seterusnya nanti,” katanya kepada Bernama selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Larkin di sini malam Jumaat.

Beliau yang diminta mengulas mengenai jumlah anggota bomba yang bakal menerima vaksin pada fasa pertama berkata, pemberian vaksin berkenaan diharap dapat menyekat penularan Covid-19 sekali gus melindungi petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas.

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sebelum pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan hujung bulan ini.

Fasa pertama pemberian vaksin ini yang berlangsung sehingga April, melibatkan petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, manakala fasa kedua bermula pada April sehingga Ogos melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi seperti warga emas.

Fasa ketiga pula meliputi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan akan berlangsung dari Mei sehingga Februari 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here