Perjanjian UK buka jalan penstrukturan semula RM3.6 bilion Malaysia Airlines

Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd, mendapat persetujuan mahkamah di United Kingdom (UK) yang akan membenarkannya memulakan pelan penstrukturan semula dengan modal sekitar RM3.6 bilion yang disuntik Khazanah Nasional Bhd.

Reuters melaporkan, mahkamah UK meluluskan perjanjian antara unit pajakan MAG dan sebahagian besar daripada pemberi pajak yang mengendalikan pesawat, dengan pelan penstrukturan semula yang disokong sepenuhnya.

MAG berkata, skim itu juga mewakili penstrukturan semula lebih luas yang akan membantu mengurangkan liabiliti syarikat melebihi RM15 bilion.

“Selepas skim itu mendapat kelulusan rasmi daripada mahkamah UK, syarikat penerbangan ini dapat meneruskan pelaksanaan pelan penstrukturan semula dengan sokongan pemegang saham tunggalnya, Khazanah, dan pihak berkepentingan sedia ada,” Reuters memetik kenyataan MAG.

Khazanah akan menyuntik modal baharu bernilai RM3.6 bilion kepada kumpulan itu untuk membiayai perniagaannya hingga 2025.

Dengan penstrukturan semula yang akan selesai awal bulan depan, MAG berkata, ia akan membuat perjanjian dua hala dengan pemberi pajak kewangan, pemajak enjin ganti, penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pemberi pinjaman korporat, dan entiti yang berkaitan dengan kerajaan.

“Pemberi pajak beroperasi terus menyokong syarikat penerbangan dengan menetapkan semula kadar pajakan kepada pasaran dan penangguhan,” katanya.

Katanya, ia juga melaksanakan langkah untuk mempertahankan perniagaan di kala wabak Covid-19 melalui pemotongan rangkaian, penjimatan kos struktur, inisiatif pemuliharaan tunai dan penangguhan pembayaran bernilai RM5.5 bilion tahun lalu, dengan sasaran RM397 juta untuk suku pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Izham Ismail berkata, syarikat itu sedang berusaha mengembangkan segmen perniagaannya yang lain, untuk menjadikan MAG sebagai kumpulan perjalanan global.

“Kami berusaha untuk meluaskan penglibatan MAG kepada produk lain berkaitan perjalanan dan perkhidmatan menjangkaui penerbangan, yang akan membantu pelanggan kami melengkapkan pengalaman perjalanan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here