Bot tunda, tongkang ditahan belayar tanpa pas

Sebuah bot tunda dan tongkang sarat muatan 3,000 tan metrik pasir yang belayar tanpa Pas Pelepasan Pelabuhan telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Manis, petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, bot tersebut dipercayai sedang belayar dari Kuching menghala ke Sibu.

“Bot tersebut ditahan semasa rondaan Ops Permai di perairan Belawai pada jarak lebih kurang 1.2 batu nautika di barat daya Tanjung Jerijih sekitar jam 3.45 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen Pas Pelepasan Pelabuhan semasa pelayaran.

“Kesemua kru yang ditahan adalah terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga India berumur lingkungan 22 hingga 55 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Berikutan itu, bot tunda, tongkang dan kru tersebut diiring ke Jeti HSL Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 37(1), Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen Pas Pelepasan Pelabuhan semasa pelayaran,” ujar Mohd Ariz lagi.

Justeru, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim dan nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan memakai jaket keselamatan.

Orang ramai disarankan untuk menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian 084-613292 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here