Dua lelaki yang disyaki tekong darat menyeludup masuk enam individu warga Indonesia diberkas semasa Ops Benteng COVID-19 dalam dua kejadian berasingan di Jalan Mongkos, Serian semalam.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, tangkapan pertama sekitar jam 3 pagi semalam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan Ops Benteng COVID-19 di sekitar perbatasan Sarawak-Kalimantan Indonesia.
Jelasnya, pasukan telah menahan sebuah kereta di Jalan Mongkos, Serian, yang bergerak menghala ke arah Serian dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah pemeriksaan dijalankan ke atas kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, mendapati dalam kenderaan terbabit terdapat tiga warga Indonesia (seorang lelaki dan dua perempuan) berusia 27 hingga 43 tahun.
“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas tiga warga asing tersebut mendapati kesemua mereka mempunyai pasport yang disyaki telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu tangkapan kedua kata Aswandy, berlaku di tempat sama yang mana polis telah menahan sebuah kereta juga dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.
Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta terbabit mendapati dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berumur 23 hingga 27 tahun dalam kenderaan tersebut dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan awal mendapati kesemua warga Indonesia tersebut masuk ke Sarawak melalui lorong tikus dan dipercayai masuk ke negeri ini untuk mencari pekerjaan,” tegasnya.
Berikutan itu katanya, polis merampas kedua-dua kereta terbabit dan kesemua mereka ditangkap untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau lagi, kedua-dua suspek warga tempatan ditahan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Mirgan (ATIPSOM) 2007.
“Sementara enam warga Indonesia ditahan dan disiasat di bawah Akta Immigresen,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata polis akan terus melakukan pemantauan dan tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ke atas tekong-tekong darat yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran ini.