LPNM tingkatkan keluasan tanaman nanas negara

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan meningkatkan keluasan tanaman nanas negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dari keluasan 16,000 hektar kepada 20,000 hektar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ini bagi menampung permintaan tinggi bukan sahaja untuk pasaran eksport, malah bagi permintaan dalam negara.

Katanya, nanas merupakan tanaman yang dikategorikan kerajaan sebagai sumber kekayaan baharu negara susulan permintaannya yang tinggi terutama pasaran eksport seperti varieti premium MD2.

“Ketika ini, kapasti negara mengeluarkan nanas 400,000 tan metrik dengan nilai lebih RM500 juta setahun.

“Bagaimanapun, jumlah itu belum mencukupi untuk pasaran nanas MD2 di luar negara serta pasaran tempatan,” katanya pada majlis penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Rakyat Pengusaha Nanas di Pusat Informasi Nanas, Laman Nanas MAEPS Serdang, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Dr. Anis Mahmod; Pengerusi LPNM, Datuk Dr. Sahruddin Jamal; dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairulzamri M. Salleh.

Penyampaian insentif PRE Prihatin Rakyat kepada pengusaha nanas merupakan sebahagian daripada keseluruhan nilai insentif yang diterima oleh LPNM sebanyak RM13 juta.

Dr. Ronald yakin sektor nanas akan menjadi sektor yang berdaya maju dengan situasi negara dunia dalam proses pemulihan dan pemvaksinan (vaksinasi) Covid-19.

Kata beliau, dengan pemulihan dan pemvaksinan yang sedang berjalan, eksport nanas dijangka terus berkembang sebanyak lima peratus setahun bagi tempoh RMK-12 ini.

Eksport nanas negara, katanya, mencatatkan jumlah sebanyak RM490 juta bagi tahun 2019 berbanding RM343 juta tahun 2018.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat perkembangan positif cadangan mewujudkan LPNM di Sabah bagi meningkatkan pengeluaran dan meluaskan penanaman nanas negara.

Kata Dr. Ronald, ini menerusi kunjungan rasminya bersama Timbalan Ketua Pengarah LPNM terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan pada 19 Februari lalu di Kota Kinabalu.

“Beberapa perkara penting telah dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah dalam pertemuan tersebut untuk terus bekerjasama bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan menjamin keselamatan makanan negara.

“Ini satu perkembangan positif bagi industri nanas keseluruhannya dan tindakan lanjut susulan perbincangan tersebut sedang diambil oleh MAFI bagi merealisasikan cadangan ini dalam masa terdekat,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here